MaN iN hEavENs' nATurE !!!

Sifat Ahli Syurga ..
Daripada Harithah bin Wahb, bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya yang bermaksud : "Mahukah kamu semua aku beritahu sifat ahli syurga?" Para sahabat menjawab : "Ya". Baginda bersabda, "Da'if mutada'af (orang yang lemah dan dilemahkan), andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah mengabulkan permintaannya".(HR Bukhari dan Muslim)
Salah satu sifat ahli syurga ialah Da'if mutada'af, lemah dan dilemahkan, yakni orang fakir dan dihina. Mereka tidak pernah disanjung dan dipuji, malah sering diremehkan kerana keadaan hidupnya. Demikianlah tafsiran makna kalimat (da'if mutada'af) ini menurut para ulama termasuklah Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar.
Sebahagian ulama mentafsirkan dengan makna yang lain. Al-Qadi 'Iyyad berkata : "Boleh jadi, kalimat lemah di sini bermakna ; hati yang lembut, halus dan tunduk kepada keimanan.
Apabila ditanya makna hadis ini, Ibn Khuzaimah menjawab : "Iaitu orang yang melepaskan dirinya daripada daya dan upaya sebanyak 20 hingga 50 kali setiap hari. Maksudnya, ahli syurga ini selalu menyedari kelemahan diri tanpa bantuan daripada Allah s.w.t. Maka, dia memperbanyakkan kalimat; "la haula wa la quwwata illa billah" yang bermaksud tiada daya dan upaya kecuali dengan (bantuan) Allah s.w.t.
Imam al-Syafi'i pernah berkata : "Lemah merupakan sifat manusia yang paling jelas. Sesiapa yang selalu menyedari sifat ini, dia akan memperoleh istiqamah bersama Allah s.w.t."
Semua tafsiran ini tidak bercanggah antara satu sama lain, malah saling melengkapi. Ini dapat dirumuskan, ahli syurga memiliki hati yang lembut dan halus, selalu bersikap tawaduk dan menyedari kelemahan diri di hadapan Allah s.w.t.
Bukan mustahil bagi orang seperti ini sering kali diremehkan dalam pergaulan kerana sifat mereka yang enggan menonjolkan diri dan selalu mengalah. Padahal, jika mereka mengangkat tangannya untuk berdoa, Allah pasti memustajabkan setiap apa yang dimintanya.
Sumber Rujukan: Majalah Solusi, Isu No.35 – Akhir Zaman, Umar M. Noor (m.s 107)
No comments:
Post a Comment